Mukhriz Mahathir Gagal Pertahankan Kerusi Menteri Besar Kedah. Siapa Yang Gantikan Beliau Akhirnya Dimaklumkan

Rakyat Kedah sah akan mendapat menteri besar dan kerajaan baru, dengan majlis angkat sumpah akan diadakan pada pukul dua petang esok, di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Ia menandakan tamatnya pentadbiran Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah buat kali kedua, yang dipegangnya selama dua tahun setelah PH menang di negeri itu pada PRU ke-14.

Kedudukan Mukhriz sebagai menteri besar tidak dapat dipertahankan setelah Bersatu keluar daripada PH, yang menyaksikan tumbangnya pentadbiran gabungan itu di peringkat persekutuan.

Beliau hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah dua adun PKR, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin, keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN). Ia disusuli dengan empat Adun Bersatu.

Sebanyak 23 akuan bersumpah (SD) daripada Adun Kedah juga dipersembah kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan mencadangkan calon baru menteri besar.

Di Alor Setar, persiapan untuk majlis tersebut bermula hari ini dengan raptai angkat sumpah bakal menteri besar, Adun Jeneri daripada PAS Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi

Ia bermula kira-kira pada pukul 10.55 pagi dengan ketibaan Sultan Sallehuddin, yang turut terlibat dalam raptai untuk esok.

Dalam satu notis kepada media daripada sumber polis, pada pukul tiga petang esok, setelah ketibaan Sultan Sallehuddin, setiausaha kerajaan negeri akan melafazkan surat pengisytiharan pelantikan menteri besar yang baru.

Semalam, kesemua 36 Adun Kedah menghadap Sultan Sallehuddin sebelum baginda memutuskan pelantikan menteri besar.

Difahamkan Mukhriz dan PAS juga akan mengadakan sidang media di Alor Setar esok.

Pada Februari 2016, ketika memimpin kerajaan BN di negeri itu, Mukhriz meletakkan jawatan sebagai menteri besar selepas hilang majoriti sokongan di DUN. Tempatnya digantikan oleh Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sumber : Malaysia KINI

Be the first to comment on "Mukhriz Mahathir Gagal Pertahankan Kerusi Menteri Besar Kedah. Siapa Yang Gantikan Beliau Akhirnya Dimaklumkan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*