
SEREMBAN: Solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di Negeri Sembilan hanya dibenarkan di masjid dan surau terpilih dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang.
Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein, berkata perkara itu sudah mendapat perkenan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dengan persetujuan Datuk Undang Yang Empat.
“Oleh kerana ancaman pandemik COVID-19 yang masih belum tamat sepenuhnya, maka kebenaran mendirikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri hanya dibenarkan bagi masjid dan surau yang terpilih dengan bilangan ahli jemaah tidak melebihi 12 orang.
“Setakat ini masjid yang dibenarkan ialah Masjid Negeri di Seremban dan masjid daerah iaitu satu masjid di setiap daerah selain Masjid Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah.
“Pelaksanaannya juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Bangunan MAINS, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli.
Mohamed berkata, berikutan bilangan jemaah yang terhad bagi kedua-dua solat berkenaan, ia haruslah terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau yang terpilih.
“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, pelaksanaan solat sunat Aidilfitri hendaklah dilaksanakan di kediaman masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, kebenaran menunaikan solat Jumaat kepada masjid kariah yang lain perlu dibuat secara berperingkat bagi mengelak kesukaran mengawal keadaan jemaah yang ramai.
“Buat seketika ini kita membenarkan Masjid Negeri dan masjid setiap daerah serta Masjid Diraja Seri Menanti bagi pelaksanaan solat Jumaat.
“Kita akan memperluaskannya secara berperingkat membabitkan masjid kariah yang lain kerana ia perlu mengikut SOP yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Sumber : BHARIAN ONLINE
Leave a Reply