“Waktu tu saya balik kerja syif pagi. Dari jauh saya nampak motosikal rider FoodPanda tiba-tiba berhenti mengejut dekat lorong tengah”

SEKECIL-kecil pertolongan tapi impaknya cukup besar buat seorang rider yang mengalami masalah terputus rantai motosikal semasa dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggannya.

Seorang wanita yang kebetulan berada di tempat kejadian bertindak memberhentikan keretanya sebelum menyalakan lampu hazard sebagai isyarat kepada pemandu lain untuk memperlahankan kenderaan masing-masing.

Wanita tersebut, Nur Adilah Othman berkata insiden berlaku di Jalan Skudai, Johor Bahru semasa dia dalam perjalanan pulang bekerja pada petang Sabtu lalu.

“Waktu tu saya balik kerja syif pagi. Dari jauh saya nampak motosikal rider FoodPanda tiba-tiba berhenti mengejut dekat lorong tengah.

“Saya nampak dia tengah terbongkok-bongkok betulkan rantai motor dia, dekat lane tengah. Dia nak tolak pun tak boleh. Bila turunkan tingkap pun dengar bunyi dia cuba nak heret motor tu ke tepi tapi tak boleh juga.

“Jadi terus saya slow kan kereta bagi jarak dan nyalakan signal hazard. Saya reversed kereta jauh sikit dan halang dia supaya tak kena langgar kereta belakang, ” katanya kepada mStar.

Jelas wanita yang bertugas sebagi Inspektor Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah, Johor Bahru itu, tindakan itu dilakukan secara spontan kerana terkenang suaminya turut bekerja sebagai penghantar makanan.

“Benda tu berlaku secara spontan. Saya berhenti dekat situ lebih kurang 15 ke 20 minit. Masa tu terus teringat suami yang turut bekerja sebagai rider FoodPanda.

“Masa tu nampaklah wajah dia lega sebab tengok saya berhentikan kereta dan bagi signal hazard. Sebelum tu nampaklah dia kejap tunduk, kejap toleh belakang.

“Dia risau kalau tiba-tiba kereta datang dari belakang. Kebetulan satu kilometer dari tempat kejadian baru lepas roadblock. Memang lepas tu kereta semua laju-laju, ” katanya.

Amoi bersama suaminya yang turut bekerja sebagai rider FoodPanda.

Meskipun pertolongan itu agak kecil, Nur Adilah atau lebih mesra disapa Amoi berkata dia lega dapat membantu rider tersebut yang juga antara petugas barisan hadapan.

“Satu kepuasan dapat bantu rider dengan cara macam ni. Bila tengok motor dia dah gerak balik ke tepi, nampaklah dia lambai kat saya, siap tunjuk isyarat bagus.

“Mungkin tu cara dia ucap terima kasih. Masa tu terfikir juga keselamatan suami. Saya hanya berdoa agar orang dapat buat perkara sama jika insiden sama menimpa suami saya, ” katanya.

Tambah wanita berusia 34 tahun itu, dia terpanggil untuk berkongsi pengalaman tersebut kerana banyak cerita kurang enak mengenai penghantar makanan yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Selalunya kita dengar cerita tak baik tentang golongan ini. Tapi hakikatnya ramai tak tahu apa yang mereka lalui sebelum itu.

“Memang ramai marah bila makanan sampai lewat tapi mereka bergadai nyawa meredah hujan dan panas semasa bulan puasa untuk memastikan makanan dipesan tiba tepat pada masanya.

“Jadilah pelanggan yang bertimbang rasa. Wang ringgit boleh dicari tapi nyawa tiada galang gantinya. Fikir-fikirkanlah, ” katanya.

Sumber : MSTAR ONLINE

Be the first to comment on "“Waktu tu saya balik kerja syif pagi. Dari jauh saya nampak motosikal rider FoodPanda tiba-tiba berhenti mengejut dekat lorong tengah”"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*