Beraya Di Kampung Tak Boleh Tapi Boleh Ke Beraya Dalam Daerah Atau Negeri Sama? Ini Jawapan Menteri

Pergerakan untuk hari raya antara daerah masih tidak dibenarkan kerana ia masih disenaraikan dalam perkara yang dilarang.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada masa ini, kerajaan memang membenarkan pergerakan tanpa had masa antara daerah tetapi ziarah untuk hari raya masih tidak dibenarkan.

Katanya, tidak semua pergerakan dibenarkan pada masa ini, begitu juga aktiviti sosial dan sukan.

“Contohnya, permainan bola sepak masih tidak dibenarkan kerana ia berada dalam senarai negatif namun sukan lain seperti badminton dan golf dibenarkan.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri pulang ke kampung untuk berhari raya tidak dibenarkan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama BH, baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang lain, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menasihatkan orang ramai meneruskan kawalan kendiri walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi banyak kelonggaran pergerakan.

Katanya, disiplin dan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan diri, keluarga dan masyarakat adalah terletak di tangan kita sendiri.

“Undang-undang boleh tetapkan apa saja tetapi ia terpulang kepada kita hendak patuhi undang-undang itu atau tidak. Sekarang pun ramai yang melanggar peraturan.

“Sebenarnya tanpa undang-undang pun kita boleh selamatkan diri kita sendiri. Saya suka memberi contoh seperti Taiwan, negara itu tidak pernah melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan rakyatnya tetapi menjadi negara yang paling rendah di dunia direkodkan dalam kes COV19 dengan enam kematian sahaja,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kebenaran untuk solat Jumaat dan tarawih di surau dan masjid, katanya setakat ini, belum lagi diputuskan sebarang keputusan mengenainya.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal agama ada membentangkan cadangan tetapi kita belum putuskan apa-apa keputusan mengenainya. Mungkin kita akan bincangkan lebih lanjut di dalam mesyuarat Kabinet.

“Cadangan itu bagaimanapun bukan mahu dilaksana dalam waktu terdekat. Jika mahu dilaksanakan pun seminggu atau dua minggu lagi. Saya kira adalah lebih baik menteri yang berkenaan mengulas mengenainya,” katanya.

Siapa yang akan periksa suhu semasa beraya? – Ismail Sabri

Kita tidak mahu Aidilfitri ini menjadi satu kluster baharu, akibat raya balik ke tempat kerja bawa penularan baharu. - Foto hiasan

Kesukaran untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan pencegahan COVID-19, menjadi punca mengapa pulang ke kampung untuk sambutan Aidilfitri dan juga ziarah tidak dibenarkan, jelas Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau akui ia satu perkara berat untuk dihadapi semua rakyat terutama yang menyambutnya, namun berbanding pasar raya sebagai contohnya, SOP itu sebenarnya lebih mudah untuk ditetapkan di premis perniagaan seperti itu.

“Sebagai contoh siapa yang nak masuk mesti beratur, jarak satu meter… penjarakan sosial mesti dijaga, sebelum masuk juga kena saring dan untuk masuk juga kena ada jumlah tertentu yang kita perlu tetapkan, jadi semua SOP itu kita jelas.

“Tetapi balik kampung siapa yang nak pantau, dalam satu rumah tiba-tiba berpeluk-peluk dengan saudara-mara, macam mana kita nak pastikan penjarakan sosial berlaku, bagaimana nak pastikan ada yang periksa suhu setiap orang yang masuk ke rumah,” katanya dalam program ‘Ruang Bicara’ Bernama TV, yang disiarkan secara langsung, malam tadi.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, walaupun satu jawatankuasa khas telah dibentuk antara agensi kerajaan untuk memantau kepatuhan kepada SOP berkenaan, namun beliau berkata anggota yang ada, tidak mencukupi untuk memantau setiap rumah di seluruh negara.

“Jadi (pemantauan) pematuhan itu kita jangka tak dapat kita laksanakan. Jadi apa yang kita buat ini adalah untuk menjaga kepentingan semua, kita tidak mahu Aidilfitri ini menjadi satu kluster baharu, akibat raya balik ke tempat kerja bawa penularan baharu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya ia tertakluk kepada Menteri Kesihatan yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang arahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, termasuk kebenaran untuk pulang ke kampung.

“Seperti saya katakan, kita akan rujuk kepada Kementerian Kesihatan, kerana Akta 342 ini adalah akta di bawah kementerian berkenaan, dan di dalam akta ini Menteri Kesihatan boleh keluarkan arahan, jadi arahan menteri pada ketika ini, tidak boleh,” katanya.

Ismail berkata, walaupun ada juga beberapa pihak yang minta supaya kebenaran diberikan dengan mengenakan SOP tertentu, beliau berkata ia tidak dapat dilakukan, selagi ia diletakkan di bawah senarai terlarang.

“Selagi itu ia tidak boleh ada SOP pun, SOP hanya boleh dikeluarkan kepada senarai dibenarkan,” katanya.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment on "Beraya Di Kampung Tak Boleh Tapi Boleh Ke Beraya Dalam Daerah Atau Negeri Sama? Ini Jawapan Menteri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*