Ogy Ahmad Daud Dikatakan Munkir Janji Tidak Bayar Gaji Pelakon. Beliau Tampil Beritahu Kenapa Sekarang Tiada Duit

Penerbit dan pelakon teater Korupsi Dewan Semandung, Ogy Ahmad Daud mengakui tidak pernah berniat untuk melarikan diri ekoran kemelut bayaran tertunggak produksi.

Kata Ogy, dai kini sedang mencari dana untuk melunaskan pembayaran yang tertunggak seperti yang didakwa beberapa pelakon dan kru teater terbabit sebelum ini.

“Saya tidak zalim. Saya memahami mereka (tenaga produksi teater) juga memerlukan perbelanjaan untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

“Untuk makluman semua, saya tidak akan melarikan diri (daripada tanggungjawab), saya tidak menukar nombor telefon dan belum lagi keluar kumpulan WhatsApp.

“Saya sedang berusaha sedaya upaya saya untuk mencari dana bagi menyelesaikan bayaran kepada mereka yang terlibat. Saya tidak berdiam,” katanya kepada Astro Awani.

Ogy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengarah teater Korupsi Dewan Semandung, Khir Rahman yang mendesaknya melunaskan baki bayaran kepada produksi.

Sebelum itu, seorang pelakon teater berkenaan, Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras, pada Jumaat yang berasa tertipu dengan janji manis Ogy untuk melunaskan baki bayaran.

Menurut Ogy, beliau secara peribadi, tidak dapat menghalang produksi teater berkenaan yang memilih untuk menyuarakan pandangan mereka di laman media sosial serta membuat laporan polis terhadapnya.

Hal ini kerana, kemelut yang tercetus ini katanya berlaku bukan atas kehendaknya dan setiap orang bebas menyurakan rasa hati mereka.

“Saya berada dalam kedudukan sebagai usahawan yang terhimpit untuk menyelesaikan bayaran yang telah dijanjikan. Sebagai usahawan, saya tiada pilihan lain selain daripada berhadapan dengan masalah ini.

“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak ambil lewa, saya ada tanggungjawab untuk selesaikan bayaran kepada mereka yang saya berhutang. Saya sedang dan akan terus mencari jalan untuk menyelesaikan.

“Alhamdulillah, Allah beri saya panduan dan pedoman untuk saya mencari jalan. Saya percaya Allah mendengar doa saya dan akan bantu saya di bulan penuh kemuliaan ini untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Ogy lagi.

Sehubungan itu, tegas Ogy, dia tidak begitu tertekan apabila segelintir pihak menggelarnya sebagai penipu atau pendusta kerana realitinya, peribadinya bukan sedemikian rupa.

“Beri saya sedikit ruang dan masa, Insya-Allah apabila cukup dana yang saya perlukan, akan saya bayaran kepada mereka semua,” janji Ogy lagi.

Kata Ogy, sudah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan sejumlah RM100,000 bagi menyelesaikan masalah pembayaran bagi team produksi Korupsi Dewan Semandung.

Bagaimanapun, dalam situasi sekarang, banyak halangan yang harus dilaluinya.

“Dalam keadaan pandemik Covid-19, banyak pihak yang berhati-hati. Saya amat memahami kedaan mereka semua. Harapan saya, agar team produksi akan juga memahami situasi itu. Saya janji, bila ada duit saya akan jelaskan,” ikrar Ogy lagi.

Teater Korupsi Dewan Semandung telah dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Sumber : GEMPAK

Be the first to comment on "Ogy Ahmad Daud Dikatakan Munkir Janji Tidak Bayar Gaji Pelakon. Beliau Tampil Beritahu Kenapa Sekarang Tiada Duit"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*