Cuba Lari Dari PKPD, 2 Warga Asing Ini Ditahan. Bila Ditanya Nak Pergi Mana, Ini Jawapan Mereka

PKPD: Polis tahan 2 lelaki Myanmar cuba loloskan diri

PETALING JAYA: Dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana cuba meloloskan diri dari premis kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan menyelusup kawat berduri di Jalan Lembah Indah, Selayang Baru, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian itu disedari penduduk berhampiran sebelum memaklumkannya kepada pihak polis, kira-kira jam 6 petang.

“Hasil maklumat diterima, sepasukan anggota polis berjaya menahan dua lelaki warga Myanmar masing-masing berusia 23 dan 24 tahun, di kediaman mereka dalam Zon C di kawasan dikenakan PKPD itu.

“Aksi dua suspek itu ketika cuba meloloskan diri daripada kawat besi berduri turut berjaya dirakam oleh seorang penduduk tinggal di seberang jalan lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Selayang Baru, hari ini.

Beliau berkata, salah seorang suspek terbabit bagaimanapun mengalami kecederaan kerana terjatuh ketika cuba meloloskan diri melalui kawat berduri yang dipasang di sekeliling blok bangunan rumah sewa tiga tingkat itu.

“Suspek mengalami kecederaan pada kaki, tangan dan belakang badan kerana tersangkut pada kawat berduri ketika terjatuh.

“Lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Selayang dan diberi rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, kedua-dua suspek adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan menjalani ujian saringan COVID-19, hari ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berdasarkan soal siasat, katanya, suspek memberi alasan bosan berada di rumah, selain berasa rimas kerana terpaksa berkurung sehingga menyebabkan mereka cuba meloloskan diri.

Dalam pada itu, katanya, sejak PKPD dikuatkuasakan di kawasan Selayang Baru, Sabtu lalu, kira-kira 60 peratus daripada hampir 3,700 penduduk tinggal di enam parcel dikenakan PKPD terbabit sudah menjalani saringan COVID-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Arifai berkata, bancian mendapati lebih 60 peratus penduduk di enam parcel dikenakan PKPD ketujuh itu adalah warga tempatan, manakala baki warga asing yang menyewa serta mendiami asrama pekerja di situ.

Enam parcel itu membabitkan Zon A, iaitu Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah; Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru); dan Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru).

Selain itu, Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru); Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru); dan Zon F (Blok A, B dan C, Selayang Makmur).

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment on "Cuba Lari Dari PKPD, 2 Warga Asing Ini Ditahan. Bila Ditanya Nak Pergi Mana, Ini Jawapan Mereka"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*