Anak Keenam Pak Ishak Tampil Untuk Luahkan Apa Yang Dia Dan Keluarga Rasa Selepas Kehadiran Ustaz Ebit Lew

“Kami mahu tutup buku lama dan buka lembaran baharu di bulan mulia ini,” kata Siti Nor Saadiahton Ishak, 25.

Anak keenam daripada 10 beradik ini berkata, Ramadan kali ini amat bermakna dalam hidup mereka sekeluarga apabila dapat bersama-sama bersahur dan berbuka di ruang tamu yang luas.

Katanya, ia jauh berbeza dengan kehidupan daif mereka sebelum ini dengan keadaan rumah yang tidak terurus dan kotor.

“Pagi tadi kami bersahur beramai-ramai makan nasi dengan lauk ayam masak sambal, petang nanti saya akan goreng ayam dan masak kicap ikan pula untuk berbuka.

“Kami semua rasa seronok sangat dapat makan bersama dan berhidang berbanding sebelum ini hanya duduk di tempat berasingan dan makan ala kadar sahaja,” kata anak kepada pasangan Jamaliah Rejab, 54 dan Ishak Darus,77.

Keluarga Ishak atau lebih dikenali sebagai Pak Ishak sebelum ini tinggal di sebuah rumah daif di Lorong Gedebang, Jalan Langgar berjaya dipujuk pendakwah, Ustaz Ebit Lew untuk berpindah ke kediaman baharu lebih selesa di Lorong Fajar, Jalan Sultanah di sini, Isnin lalu.

Siti Nor Saadiahton Ishak,25, (depan) bersama ibunya Jamaliah Rejab, 54 dan bapanya Ishak Darus,77 di rumah sewa baharu di Lorong Fajar, Jalan Sultanah di sini.

Pak Ishak yang lumpuh akibat angin ahmar manakala isterinya tidak mampu berjalan akibat luka di kaki kerana menghidap kencing manis kini terlantar di atas katil dan mendapat rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Siti Nor Saadiahton atau lebih mesra dengan panggilan Siti berkata hidup mereka sekeluarga sebelum ini tidak mempunyai motivasi dan hanya mengharapkan apa yang ada.

Sehinggalah kehadiran Ustaz Ebit Lew seperti memberi semangat baharu buat mereka sekeluarga untuk hidup dengan lebih teratur.

“Saya akui sudah lali dengan cemuhan orang, bukan kami tidak berusaha untuk berpindah tetapi banyak faktor menyebabkan urusan berpindah terbantut, saya pula hanya bekerja sebagai pembantu kedai kasut.

“Duit banyak dihabiskan untuk membeli makanan dan barang keperluan keluarga sahaja, adik beradik saya ramai yang tidak bekerja dan saya antara tunggak keluarga,” katanya.

Bercerita lanjut, wanita ini berkata mereka sekeluarga kini mahu membuang sikap itu dan adik beradiknya yang lain sedang mencari kerja untuk membentuk kehidupan yang lebih baik.

Katanya walaupun mereka adik beradik hanya bersekolah sekadar di tingkatan satu dan dua, namun mereka tetap berazam untuk memastikan anak-anak dapat bersekolah sehingga ke peringkat tertingggi bagi mengubah nasib keluarga.

“Kami perlu bermula dengan solat dan belajar mengaji, kami tidak pandai membaca al-Quran termasuk anak-anak saudara saya, kini semuanya bersemangat untuk belajar mengenali alif ba ta.

“Ustaz Ebit Lew sudah membuka jalan untuk kami menjalani hidup baharu, sekarang saya sangat berharap akan ada guru agama yang boleh membimbing kami untuk hidup berlandaskan syariat,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman memaklumkan usaha memujuk Pak Ishak sudah dilakukan pihaknya sejak 12 tahun lalu, namun keluarga daif itu enggan berpindah.

Selain ditawarkan rumah, keluarga terbabit turut menerima bantuan bulanan kewangan, bantuan makanan fakir miskin, bantuan awal persekolahan, bantuan Aidilfitri dan bantuan Jaya Diri.

Sumber : BHARIAN ONLINE

Be the first to comment on "Anak Keenam Pak Ishak Tampil Untuk Luahkan Apa Yang Dia Dan Keluarga Rasa Selepas Kehadiran Ustaz Ebit Lew"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*