
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ramadan tahun ini lebih istimewa kerana negara berjihad melawan COVID-19.
Perdana Menteri berkata, Ramadan tahun ini juga istimewa kerana jihad dan pengorbanan yang dilaksanakan, membuahkan hasil.
“Sejak lebih sebulan yang lalu, kita berjihad melawan COVID 19. Seperti ibadah puasa, kita dikehendaki berjihad melawan hawa nafsu. Kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita.
“Kita menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang kita suka. Kita tak keluar berjalan-jalan, kita tak menonton wayang bersama kawan-kawan, kita tak pergi melancong, kita tak makan di restoran kesukaan kita,” katanya.
PKP dilanjutkan 2 minggu lagi hingga 12 Mei
Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi dari 28 April hingga 12 Mei ini.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada perutusan khas Ramadan sebentar tadi.
Lanjutan itu adalah PKP fasa keempat yang dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini sejak 18 Mac lalu.
KELONGGARAN UNTUK PELAJAR YANG BERADA DI KAMPUS SEJAK AWAL PKP
Kerajaan memberi kelonggaran kepada pelajar yang masih di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata proses membawa pelajar berkenaan pulang sedang dirancang kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan.
Katanya, jumlah pelajar adalah hampir 100,000 orang dengan proses membawa pulang penuntut perlu dirancang secara teliti bagi memastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan COV19.
“Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala COV19.
“Kepada anak-anak kita yang berada di kampus, insya-Allah dalam tempoh tak berapa lama lagi, anda semua boleh pulang ke pangkuan keluarga.
“Butiran terperinci mengenai pergerakan pulang ini akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat. Jadi, kepada ibu bapa sabar dulu,” katanya dalam perutusan khas, malam tadi.
Perdana Menteri mengucapkan selamat menyambut Ramadhan.
Video Penuh :
Artikel By: Viddy Media
Leave a Reply