‘Mat Saleh’ berniaga pasar malam jual cendol siap loghat `Bota` tarik perhatian

 

KEPETAHANNYA bercakap menggunakan Bahasa Melayu dan loghat Bota menjadikan pemuda asal Eropah Timur yang berniaga di pasar malam di Bota ini, disenangi penduduk tempatan.

Barak Nobert atau Adam Abdullah, 36, yang berasal dari Budapest, Hungary menjual langos iaitu makanan popular negara kelahirannya di pasar malam dan pagi di Kampung Gajah, Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dan Tapah serta Titi Gantong, Bota setiap Selasa, Rabu dan Ahad.

Adam berkata, dia berniaga bersama isteri, Elsuraya Mohamed, 49, sejak empat tahun lalu.

Katanya, selain langos, mereka turut menjual cendol serta pulut panggang yang dihasilkan sendiri.

“Masa mula-mula berniaga…. tak yakin juga mahu berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu, ramai juga yang melihat pelik dan ada yang terkejut apabila tahu saya orang Eropah kerana menyangka saya daripada Pakistan.

“Pengalaman lucu pula apabila ada pelanggan yang bertanya dalam Bahasa Inggeris terkejut sebaik saya membalasnya dalam Bahasa Melayu dan menyelitkan loghat Bota,” katanya ketika ditemui di gerainya di pasar malam Titi Gantong.

Menurutnya, dia mengambil masa enam bulan untuk menguasai Bahasa Melayu dan kelebihan itu memberikan keistimewaan kepadanya ketika berniaga dan berasa lebih dekat pelanggannya.

“Walaupun tak boleh bercakap sepenuhnya dalam loghat Bota tetapi ‘bunyi’ itu tetap ada dan pelanggan juga suka saya guna loghat itu.

“Antara loghat Bota yang saya suka dan akan guna setiap hari seperti maghi (mari), ngecek (menipu), untei-untei (perlahan), sapan (habis) dan kulu kyeor (ke hulu ke hilir),” katanya yang tinggal di rumah ibu mentuanya di Kampung Teluk Bakong, Bota Kanan.

Menurut Adam, dia mahu menjadi anak kampung sebenar walaupun tidak dilahirkan di negara ini, malah mengakui suka dan tidak malu berniaga di pasar malam untuk mencari rezeki halal.

“Saya jatuh cinta dengan kehidupan kampung dan selain berkebun, kami turut bela ayam di rumah. Saya datang ke Malaysia dan perlu menghormati budaya serta belajar bahasa orang di sini, kalau tidak macam mana nak berbual dengan keluarga mentua dan orang tempatan.

“Sekarang saya juga sudah boleh masak cendol dan selepas dua kali diajar isteri. Tak susah rupanya nak masak cendol, cuma kena kacau selalu kalau tak nanti hangit pula,” katanya yang mengakui keluarganya turut gembira melihat dia boleh menyesuaikan diri.

Katanya, dia menyesuaikan makanan tradisional negaranya itu mengikut cita rasa Melayu dengan menyediakan sos pencicah sekaya power, coklat leleh dan sambal tumis ikan bilis rangup.

Sumber Hmetro via Kini.allnws.com

Be the first to comment on "‘Mat Saleh’ berniaga pasar malam jual cendol siap loghat `Bota` tarik perhatian"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*