KKM berusaha “nego” dengan pembekal kit ujian pantas antigen Covid-19 dari Korea Selatan untuk harga bawah Rm50

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih berunding dengan pembekal kit ujian pantas antigen Covid-19 dari Korea Selatan untuk mendapatkan harga serendah RM50 setiap satu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana peralatan berkenaan dibeli dalam jumlah banyak atau secara pukal.

“Kita masih berunding harga itu sebab kita membuat pesanan dengan jumlah yang banyak. Kita jangka akan ditawarkan harga lebih rendah dari RM50,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Putrajaya ketika ditanya mengenai kos setiap kit ujian itu.

Terdahulu semalam, beliau dilaporkan berkata KKM memutuskan akan menggunakan kit ujian antigen dari Korea Selatan selepas didapati ia berkesan mengesan jangkitan Covid-19.

Berdasarkan ujian yang dilakukan, katanya, sensitiviti kit berkenaan adalah pada kadar 100 peratus.

Lebih penting, katanya, sampel tidak perlu dihantar ke makmal kerana ujian boleh dilakukan di kemudahan kesihatan sama ada klinik atau hospital.

“Kita harap jika kit ini boleh diperoleh minggu depan, (jadi) kita akan melakukan ujian saringan secara besar-besaran… Sekarang pun kita sudah buat saringan tetapi selepas ini kita boleh lakukan untuk kumpulan sasar,” katanya.

Sementara itu, katanya, kelebihan penggunaan kit ujian itu berbanding kaedah ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) adalah menjimatkan masa dan kos, selain meningkatkan kadar pengesanan.

“Hari ini kita buat 9,717 ujian saringan bagi mengesahkan seseorang positif Covid-19 atau sebaliknya dan keupayaan makmal ujian ketika ini beroperasi pada kadar 84 peratus hingga 85 peratus.

“Kit ujian secara pantas bersandarkan antigen ini akan digunakan terhadap individu pada hari ke-13 mereka menjalani kuarantin kerana ia mengesan antibodi.

“Sekiranya keputusan adalah negatif, individu berkenaan dibenarkan keluar daripada pusat kuarantin, tetapi jika positif, mereka akan dimasukkan ke hospital.

“Ujian pengesahan seterusnya akan dibuat menggunakan rRT-PCR,” katanya.

Sumber hmetro

Be the first to comment on "KKM berusaha “nego” dengan pembekal kit ujian pantas antigen Covid-19 dari Korea Selatan untuk harga bawah Rm50"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*